Berdasarkan kisah benar, tetapi diolah untuk disesuaikan dengan masyarakat tempatan

“Isteri aku minta cerai sebab aku lupa nak cuci pinggan dalam sinki. 

Bayangkan bila benda remeh-temeh seperti lupa cuci pinggan dibesar-besarkan hingga menjadi masalah rumahtangga sampai bercerai-berai. Aku rasa mungkin dia dah gila. Aku masih tak boleh nak relate antara lupa nak cuci pinggan, dengan isteri aku yang mengamuk, sedih dan marah lalu minta cerai. Bayangkan seperti kanak-kanak, mengamuk hanya sebab perkara kecil.

Selepas 13 tahun bercinta, kahwin dah 3 tahun, ada anak umur 4 tahun – isteri aku membuat keputusan yang dia dah tak sanggup nak teruskan perkahwinan dengan aku. 

Untuk bantu aku menghadam semua benda yang terjadi ni, aku pun mula menulis blog. Aku ingat lagi, masa benda ni terjadi, aku menulis satu entri bertajuk “Isteri aku minta cerai sebab aku lupa nak cuci pinggan dalam sinki.”

Blog aku yang dulunya sendu, tiba-tiba dapat trafik mencanak dari seluruh Malaysia. Lelaki, perempuan, semua pakat tinggalkan komen. Ada yang berterima kasih atas entri blog itu sebab jadi panduan untuk selamatkan perkahwinan mereka. Ada yang marah-marah.

Sejak dari itu, baru aku tahu, masalah pengurusan rumahtangga ni adalah masalah yang sering dihadapi oleh pasangan berkahwin di luar sana. Dan pertengkaran kerana isu kerja rumah seperti mencuci pinggan seperti takkan berakhir, sebab lelaki dan perempuan mempunyai perspektif dan penerimaan berbeza dalam hal ni.

Aku rasa, aku dah cuba tolong isteri aku buat kerja-kerja rumah. Aku cuci baju, keringkan dan kemudian lipat. Adalah satu masa, aku terlupa nak keluarkan pen dari poket jeans dia, dan dia mengamuk gila. Aku rasa tak adil lah nak marah-marah aku sampai macam tu, sebab aku bukan sengaja. Kalau dia terkotorkan baju aku pun, aku tak rasa aku akan marah dia, apatah lagi sampai ke tahap mengamuk. Aku takkan jadi sekejam dia, kot.

Gambar hiasan

Secara jujurnya dalam perkahwinan ni, aku rasa aku baik sikit dari isteri aku. Aku lebih ceria, lebih sopan. Jadi bila dia mula nak marah-marah kat aku, aku akan segera pertahankan diri, terutama kalau benda yang dia marahkan tu remeh-temeh, ataupun kalau aku rasa tak adil untuk menyalahkan aku sepenuhnya.

Selepas entri di blog aku tu menjadi viral, aku cuba untuk membantu orang di luar sana yang ada masalah rumah tangga lebih kurang sama dengan aku. Caranya, aku cuba layan borak dengan mereka. Bila dah selalu dengar masalah rumahtangga orang lain, aku pun belajar tentang suatu masalah perhubungan yang aku pun baru tahu wujud – iaitu masalah buruh emosi. 

Kebanyakan orang yang datang untuk berborak dengan aku, cuba untuk mengembalikan kepercayaan dalam rumahtangga mereka yang sedang berantakan. Ramai juga yang tak tahu macamana hubungan mereka dengan pasangan merosot hingga tahap perpisahan.  Tapi aku perasan, bila kaum lelaki ada masalah dengan isteri, mereka lupa nak dengar atau memahami apa yang isteri nak luahkan. Sebaliknya mereka buat tiga benda ni:

  • Menafikan apa-apa masalah yang diajukan oleh isteri
  • Bersetuju wujudnya masalah tersebut, tapi menganggap isteri ni overreacting 
  • Membela diri sendiri, terutama kalau masalah tersebut wujud disebabkan kesalahan sendiri

Dalam ketiga-tiga situasi di atas, perasaan isteri tidak diambil kira atau cuma dipandang ringan.

Kaum lelaki seringkali lupa betapa penatnya mental bila menguruskan kehidupan diri sendiri DAN kehidupan orang lain sekaligus. Projek sekolah anak-anak. Kenderaan nak hantar anak pergi aktiviti luar kelas. Hari-hari keramaian seperti hari raya yang akan datang. Rancangan nak bercuti. Semua ini memenatkan, itu yang aku sedar bila kami sah bercerai dan aku harus kongsi tanggungjawap menjaga anak kami.

Bila dah bercerai, aku selalu lupa perjumpaan antara guru dan anak. Aku akan hantar anak ke sekolah, tapi kerja sekolahnya tak siap. Baju yang dia pakai pun sukahati aku je pasangkan, dan banyak lagi perkara yang aku lupa nak buat, dan tak boleh nak buat sebaik bekas isteri aku.

Berbalik kepada buruh emosi. Memori pertama aku tentang buruh emosi adalah bila aku berumur 4 tahun dan ibu bapa aku bercerai. Kalau di rumah mak, aku kena buat kerja-kerja rumah sikit tapi dapat makan sedap-sedap, baju aku bersih dan bilik air pun wangi. Tapi di rumah ayah, kerja-kerja rumahnya berlainan, seperti potong rumput dan cuci kereta. Di usia 41 tahun ni, bila aku imbau kembali memori masa kecil, baru aku sedar, antara kedua-dua rumah mak dan ayah, tanggungjawap terbesar mengurus rumahtangga dipikul oleh mak ataupun mak tiri aku. Kedua-duanya tak pernah mintak suami, atau anak lelaki buat lebih dari sepatutnya. Suami adalah raja, gitu.

Cuma, perkara inilah yang memberi kesan kepada kehidupan aku sekarang, memberi kesan macamana aku layan dan berkomunikasi dengan isteri aku. Aku dah dibiasakan yang wanita, terutama ibu atau isteri, yang galas tanggungjawap menyiapkan kerja-kerja rumah dan memastikan rumah teratur, bersih dan sistemnya lancar. Jadi bila aku dewasa, aku pun beranggapan yang isteri aku akan buat benda yang sama sama seperti mak atau mak tiri aku.

Tapi dari perspektif isteri, bila suami tak mampu atau tak mahu pikul tanggungjawap di rumah bersama-sama; samada dari segi mental mahupun fizikal – ia seolah-olah suami dah menjadi seorang lagi anak kecil dalam rumahtangga tersebut. Menjadi beban.

Aku ingat lagi, isteri aku pernah merungut yang dia penat nak bagitahu aku apa aku kena buat, setiap kali, setiap masa. Dan aku menjawap, “Kalau you bagitau I apa you nak I buat, I boleh je buat, takde masalah.” Tapi masalahnya sekarang, isteri aku adalah isteri, bukan ibu, bukan mak aku. Dia nak jadi pasangan hidup aku, dan dia nak aku gunakan kebijaksanaan dan kebolehan aku dalam mempelajari sesuatu untuk digunapakai dalam menguruskan rumahtangga kami. Dia nak aku sama-sama memerhatikan apa yang harus dilakukan, apa yang mesti diselesaikan tanpa perlu dia memberitahu aku. Bukannya serah bulat-bulat pada dia.

Ramai lelaki bila tolong isteri kat rumah, mereka mengharapkan pujian atau balasan. Padahal cuma tolong lipat baju. Perkataan ‘tolong’ itu sendiri tak sepatutnya wujud dalam sebuah sistem rumahtangga, sebab itu adalah benda yang sepatutnya memang harus dilakukan oleh pasangan masing-masing. 

Ramai juga lelaki yang tak faham bahawa mengelakkan dari bergaduh dengan isteri bila isteri marah-marah adalah jalan penyelesaian terbaik. Tetapi sebenarnya ia lebih menyakitkan hati, dan akan menyebabkan masalah sebenar tak selesai hingga merebak menjadi masalah besar; macam kes aku. Walaupun kita rasa masalah itu remeh, tetapi mungkin ia penting untuk isteri. Bila isteri pendam lama-lama, meletup, masa tu baru padan muka kita.

Aku dan bekas isteri dulunya ada impian dan harapan yang sama dalam rumahtangga kami. Pendek kata, kami secocok lah. Apa boleh buat, jodoh tak panjang. Kalaulah aku lebih peka dengan pengurusan rumahtangga dan mahu mendengar luahan hati isteri, tentu sehingga sekarang kami masih bersama. Tapi tak apalah, mungkin sudah ditakdirkan kisah aku ni jadi pengajaran untuk korang di luar sana. Semoga korang tak lalui masalah seperti aku, dan boleh bahagia sehingga ke anak cucu.”

4 Shares:
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You May Also Like