WeWork secara rasminya mengumumkan lokasi baharunya di Mercu 2, Bangsar yang bakal dibuka pada Disember 2019. WeWork merupakan penyedia ruang kerja kolaboratif dan ruang-sebagai-servis terulung di dunia. Susulan kejayaan pelancaran ruangan pertamanya di Equatorial Plaza, WeWork Mercu 2 bakal dilancarkan sebagai ruangan kolaborasi kedua syarikat tersebut di Malaysia, sekaligus mencerminkan fokusnya untuk mengukuhkan portfolio di Malaysia dan serantau.

Bulan Disember tahun ini menandakan genap dua tahun sejak WeWork memasuki pasaran Asia Tenggara melalui Singapura pada Disember 2017. Pada masa itulah syarikat tersebut turut mengembangkan jejak merentasi enam pasaran bagi menawarkan perkhidmatannya kepada komuniti tempatan. Memandangkan permintaan yang tinggi di Malaysia, syarikat-syarikat besar semakin beralih daripada persekitaran pejabat tradisional kepada ruangan kolaboratif bagi meraih pelbagai manfaatnya. Baru-baru ini, WeWork telah membuka ruangan baharu di Singapura, serta pejabat swasta seluruh tingkat bagi perniagaan saiz sederhana di Indonesia dan Filipina.

Bangunan Mercu 2 merupakan antara menara pejabat yang terletak dalam Kuala Lumpur Eco City, iaitu sebuah pembangunan bersepadu yang mewah, mesra alam, dan berorientasikan transit. Ia terdiri daripada pejabat komersial, gedung peruncitan dan menara kediaman yang mewah, serta sebuah hotel kelas perniagaan. Lokasinya yang strategik dihubungkan dengan pengangkutan awam melalui stesen LRT Abdullah Hukum. Tambahan pula, sebuah jambatan pejalan kaki menyediakan akses mudah kepada pusat beli-belah The Gardens dan Mid Valley, sekaligus membolehkan ahli-ahlinya menikmati pelbagai pengalaman jamu selera, beli-belah, dan hiburan.

“Selepas hampir satu tahun beroperasi di Malaysia, kami melihat peralihan oleh syarikat antarabangsa dan tempatan, sama ada besar atau kecil, yang memilih WeWork sebagai pilihan utama untuk berkembang di rantau Asia Tenggara. Sambil kita melangkah untuk membina ekosistem perniagaan yang bersifat kerjasama dan aktif, WeWork Mercu 2 membenarkan kami membina hubungan dengan komuniti di Bangsar. Dengan rangkaian serta komuniti antarabangsa WeWork, kami berhasrat untuk menyediakan pengalaman yang unik, memupuk kerjasama dalam dan luar negara dan merekacipta gaya hidup kerja baru melalui reka bentuk dalaman unik, fleksibiliti, teknologi dan komuniti di Malaysia,” kata Turochas “T” Fuad, Pengarah Urusan, WeWork Southeast Asia dan Korea.

Memperkasa ahli-ahli dan komuniti untuk memacu inovasi

Sejak dibuka pada Mei 2019, WeWork Equatorial Plaza telah berpegang teguh kepada komitmen syarikat untuk menyatukan komuniti dengan menampung pelbagai jenis ahli, baik perusahaan kecil dan sederhana (SME), mahupun syarikat-syarikat baru muncul dan pekerja bebas. Ahli-ahli tersebut terdiri daripada pelbagai industri, termasuk Babel, kelab kesihatan yang menginspirasikan perubahan melalui pengalaman hebat, dan Oppotus, sebuah syarikat kajian pasaran yang progresif di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan perundingan yang disesuaikan untuk keperluan pelanggan. WeWork mengkhusus dalam penyediaan ruangan kerja yang tangkas kepada ahli-ahlinya tanpa kira jenis industri. Ia bukan sahaja membolehkan mereka berkembang mengikut rentak masing-masing, malah memberikan tumpuan untuk memacu inovasi dan kreativiti.

Salah satu ahli baharu yang bakal menyertai WeWork Mercu 2 ialah Links International, pembekal perkhidmatan payroll, organisasi majikan profesional (PEO), imigresen dan sumber manusia yang terkemuka di Asia. “Selain pencapaian pasaran yang kuat di Asia Pasifik termasuk Malaysia, kami juga mengidamkan satu ruangan yang dapat memacu pertumbuhan pasukan tempatan kami”, kata Tina Tam, Pengurus Operasi Serantau. “Jadi, tidak hairan kami memilih WeWork kerana ia merupakan satu pesekitaran yang dapat menyokong pasukan kami untuk menjadi kreatif, fleksibel dan tangkas. Kami tidak sabar untuk berpindah tempat kerja kami di Malaysia ke WeWork Mercu 2 dan memanfaatkan sinergi dalam komuniti di situ, sementara terus mengukir nama sebagai peneraju industri yang memenangi anugerah dalam perkhidmatan sumber manusia di Asia.”

Memenuhi permintaan dengan rekaan yang betul

Kejayaan WeWork dalam mentransformasikan ruangan kepada pengalaman hebat telah mencetus revolusi dalam pandangan masyarakat terhadap ruangan pejabat, menerusi gabungan rekaan dengan teknologi bagi menghasilkan satu tempat kerja yang mampu memenuhi keperluan tenaga kerja alaf baharu. Selain itu, kedudukan di tingkat tertinggi bangunan Mercu 2 membolehkan ahli-ahli WeWork menikmati cahaya semula jadi, yang diserlahkan oleh siling tinggi serta rona warna kayu, jubin dan fabrik yang lembut.

Di samping itu, unsur-unsur tempatan turut diterapkan ke dalam ruangan WeWork, baik hasil karya seni mahupun perabot yang diperibadikan. Songket buatan tangan yang digayakan dengan benang logam, jubin terracotta di pantry, bingkai rotan, serta blok konkrit mencetuskan imaginasi terhadap kampung Melayu tradisional. Lebih menarik lagi, ruangan istirehat dan pejabatnya menampilkan panorama Bangsar yang indah.

Selari dengan fokus kerajaan Malaysia untuk memacu negara ke arah ekonomi digital, WeWork berada di kedudukan yang baik untuk menyokong pertumbuhan perusahaan SME dan syarikat-syarikat baru muncul, di samping memperkasa ahli-ahlinya menerusi sebuah komuniti global, serta menjana inovasi seiring dengan usaha perkembangannya di tanah air.

0 Shares:
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You May Also Like