Pelakon dan selebriti Izreen Azminda serta Food Aid Foundation telah bekerja sama untuk melancarkan kempen ‘Daripada Ibu Kepada Ibu’, untuk  menggalakkan rakyat Malaysia untuk membantu mengurangkan beban para ibu tunggal semasa bulan Ramadhan ini dengan memberikan sumbangan barangan.

 

Kempen ‘Daripada Ibu Kepada Ibu’ akan berlangsung dari 15 Mei sehingga 15 Jun di 50 buah cawangan pasar raya yang terlibat (Giant, Tesco, MYDIN dan AEON) di seluruh negara. Para pembeli yang membeli produk P&G bernilai RM30 atau lebih, bakal layak menerima sebuah ‘Beg Hati’. Mereka kemudiannya digalakkan untuk mengisi beg tersebut atau mana-mana beg lain dengan barangan tak mudah rosak seperti makanan kering atau makanan tin, minyak masak atau sabun cuci, dan meletakkannya di kotak pengumpulan yang ditempatkan di cawangan-cawangan yang terlibat. Food Aid Foundation kemudiannya akan mengumpul barangan tersebut di akhir kempen ini dan mengagihkannya kepada para ibu tunggal di seluruh Malaysia.

Kami juga sempat menemubual Izreen di dalam acara kebajikan yang julung kali disertai oleh pelakon cantik ini.

Dewi Malaysia: Adakah ini kali pertama Izreen menyertai acara kebajikan seperti ini?

Izreen Izminda : Ya, ini kali pertama saya menyertai acara kebajikan bersama para ibu tunggal dan saya memang teruja kerana terpilih menyertai acara CSR bersama P&G tahun ini.

Dewi Malaysia: Rasanya kenapa Izreen dipilih menyertai kempen ini?

Izreen Izminda: Memandangkan Izreen juga merupakan seorang ibu tunggal, jadi rasanya amat bertepatan dengan kempen ‘Daripada Ibu Kepada Ibu’ ini sendiri. Selain itu juga, sebagai seorang selebriti, saya ingin mengajak dan membuka mata rakyat Malaysia mengenai kesusahan dan kepayahan ibu tunggal dalam membesarkan anak-anak tanpa bantuan luar. Sekurang-kurangnya, kita dapat meringankan beban mereka sempena Ramadan dan juga Hari Raya yang bakal menjelang nanti.

Dewi Malaysia: Boleh Izreen kongsikan apa aktiviti Izreen semasa kempen ini berlangsung?

Izreen Izminda: Saya akan mengunjungi beberapa rumah ibu-ibu tunggal bersama Food Aid Foundation untuk mengagihkan bekalan bantuan yang berjaya dikumpul nanti. Selain itu juga saya akan beramah mesra bersama mereka dan ingin melihat sendiri keadaan para ibu tunggal di luar sana.

Dewi Malaysia: Apa pesanan Izreen kepada semua ibu tunggal di luar sana?

Izreen Izminda: Saya memahami kepayahan dan kesusahan anda semua sebagai ibu tunggal yang kena bekerja dan menyara keluarga. Jangan putus harapan dan selalu berdoa kepada Allah swt supaya urusan kita dipermudahkan dan selalu ingatkan diri supaya selalu kuat dan pandang ke hadapan.

 

Izreen Azminda, duta bagi kempen ‘Daripada Ibu Kepada Ibu’ P&G Malaysia berkata, “Sebagai seorang ibu tunggal, saya memahami cabaran yang dihadapi oleh ibu tunggal yang lain yang perlu menjadi pencari rezeki sambil menjadi penjaga utama buat keluarga. Sokongan dari keluarga dan rakan-rakan sememangnya memainkan peranan dalam menceriakan hidup kami terutamanya pada musim Raya di mana perbelanjaan sering kali lebih tinggi dari biasa. Saya bangga dapat menjadi sebahagian daripada kempen ini untuk memberi sokongan kepada suatu isu yang begitu bermakna buat saya.”

 

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kempen ‘Daripada Ibu Kepada Ibu’ dan senarai penuh cawangan yang mengambil bahagian, sila layari www.daripadaibukepadaibu.com.my untuk memainkan peranan dalam membawa perubahan besar pada kehidupan para ibu tunggal dan keluarga mereka di bulan Ramadhan ini.

1 Shares:
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You May Also Like